Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) terpilih sebagai pempamer “Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara” dalam bidang Teknologi AR/VR
Putrajaya, 23 Oktober 2023 – Kementerian Pengajian Tinggi telah menganjurkan “Hari Terbuka Pengajian Tinggi” di Putrajaya dimana Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris bersama rakan industri, Asia Digital Engineering (ADE) telah dipelawa untuk mempamerkan hasil produk AR/VR. Antara pameran yang terlibat adalah hasil penyelidikan aplikasi teknologi Augmented Reality (AR) dalam pendidikan STEM yang bertajuk Modul Kemahiran STEM: AR-SiGaSTEM yang diketuai oleh Dr. Laili Farhana Md Ibharim dari FKMT serta aplikasi AR bagi pembelajaran praktikal dalam bidang penerbangan oleh rakan industri FKMT, Asia Digital Engineering (ADE).
Hari terbuka ini turut melibatkan pameran daripada universiti-universiti dan rakan industri yang berprestij dalam pelbagai bidang, termasuk teknologi dron, keselamatan makanan, penjagaan kesihatan, teknologi masa depan, maker space dan teknologi AR/VR. “Hari Terbuka Pendidikan Tinggi” ini mempamerkan komitmen Kementerian Pengajian Tinggi dalam memberi galakan dari segi kerjasama jangka panjang dan kolaborasi inovasi dalam sektor pengajian tinggi. Ia membayangkan masa depan yang lebih cerah untuk pendidikan di Malaysia. Hari terbuka ini juga telah dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri ke-2, Y.A.B. Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, bersama Menteri Pendidikan Tinggi Negara , Y.B. Dato’ Seri Mohamed Khaled Bin Nordin bagi menyempurnakan majlis penutup.