UPSI-WoR meterai MoU, majukan pendidikan robotik
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan World of Robotics (WoR) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam usaha memperkukuh hubungan dan meningkatkan kolabrasi.
MoU tersebut dimeterai oleh Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff yang mewakili UPSI dengan Pengarah Urusan WoR, Lee Yew Kein dalam satu majlis yang diadakan di Perpustakaan Digital UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.
Naib Canselor UPSI, Prof Md Amin Md Taff menerusi kenyataan berkata dengan termeterainya MoU itu, ia dapat memperkukuhkan kerjasama antara universiti dan industri dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP), penyelidikan, perundingan, pengurusan acara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
“Ia juga membabitkan kerjasama profesional melalui ceramah, bengkel, kursus pendek, penilaian produk, pemeliharaan teknologi untuk pendidikan dan penyelidikan, demonstrasi eksklusif atau ujian produk baru serta pakej promosi istimewa jenama WoR kepada kakitangan dan pelajar UPSI.
Beliau berkata kedua-dua pihak juga dapat membina perkongsian strategik melalui pembangunan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) robotik untuk pendidikan dan penyelidikan di UPSI.
Katanya, MoU ini adalah satu langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan antara UPSI dan WoR yang berfaedah kepada kedua-dua belah pihak, malah memberi kesan positif dalam mencapai matlamat bersama.
“UPSI adalah antara rakan yang terbaik buat WoR kerana 80 peratus alumni kami adalah guru sekolah menengah, pembentuk generasi baharu Malaysia yang kalis masa hadapan,” katanya.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Abdul Rahim Razalli, Pendaftar, Helmi Zaifura Abdul Rahman, Prof Dekan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META), Prof Madya Dr Maizatul Hayati Mohd Yatim, Dekan Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Dr Mohd Azlan Mohammad Husain serta Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Prof Madya Dr Abdul Talib Mohamed Hashim.
Sementara itu, Pengarah Urusan WoR, Lee Yew Kein berkata pihaknya sangat bersemangat mengenai peluang yang terbuka, malah melalui MoU ini dapat meningkatkan kerjasama yang mencerminkan komitmen bersama untuk mencipta nilai tambah yang berterusan dan memajukan inovasi dalam bidang pendidikan dan robotik.
“Menerusi MoU ini juga dapat mengadakan pertukaran sumber daya, akses kepada penyelidikan dan maklumat, serta penubuhan jawatankuasa bersama yang akan bertanggungjawab untuk mengawasi pelaksanaan dan menilai kemajuan kerjasama.
Katanya, kedua-dua organisasi berharap dapat membentuk persekitaran kerjasama yang saling menguntungkan dan mempercepat pencapaian matlamat strategik masing-masing organisasi.