Prof. Dr. Che Zalina Zulkifli Dilantik sebagai Penasihat Pakar
BUKHARA, UZBEKISTAN, 22 Mei 2025 – Prof. Dr. Che Zalina Zulkifli, Ketua Pusat Pendidikan Teknologi Hijau UPSI (EduGreen@UPSI), telah menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dilantik sebagai Penasihat Pakar di Bukhara State Technical University (BSTU), dengan pengesyoran rasmi daripada Agensi Pembangunan Inovatif, Kementerian Pengajian Tinggi Uzbekistan. Pelantikan ini dibuat selari dengan kepakaran dan sumbangan beliau bersama ahli penyelidik bersama EduGreen@UPSI dalam bidang Internet of Things (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) untuk Teknologi Hijau, termasuk inovasi mesin kompos pintar, pendidikan alam sekitar, penubuhan Pusat Pendidikan Hijau di kediaman pelajar dan pusat komuniti, seterusnya inovasi AI dalam pemuliharaan hidupan liar.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif peralihan ke arah Universiti Hijau, BSTU telah dipilih sebagai model universiti hijau yang komprehensif di Uzbekistan. Sepanjang lawatan kerja beliau dari 9 hingga 22 Mei 2025 bagi melaksanakan pelantikan sebagai Profesor Adjung di Bukhara State Technical University untuk tempoh dua tahun, Prof. Che Zalina telah memainkan peranan penting dengan memberikan panduan strategik yang selaras dengan keperluan dan kemudahan sedia ada di universiti tersebut.
Antara sumbangan utama beliau ialah penubuhan Jawatankuasa Hijau Bukhara State Technical University yang kini diterajui oleh Rektor sebagai Penaung, dengan Timbalan Rektor Penyelidikan, Dr. Asilidin, sebagai Pengerusi. Jawatankuasa ini merangkumi 9 Kumpulan Minat Khas (Special Interest Groups, SIG) yang diketuai oleh Dekan dan Ketua Jabatan, dan memfokuskan kepada bidang-bidang berikut:
- Teknologi Hijau & Ekonomi Hijau
- Pendidikan Alam Sekitar
- Tenaga Boleh Diperbaharui
- Pengurusan Sisa
- Kesedaran Awam
- Sekuriti Makanan
- IoT dan AI
- Biodiversiti dan Ekopelancongan
- Seni Bina Hijau dan Kitar Semula Kreatif
Setiap SIG telah diarahkan menyediakan pelan tindakan strategik bagi tempoh 3 bulan dan 6 bulan, yang akan dipantau secara langsung oleh Prof. Che Zalina sebagai Penasihat Pakar.
Pelantikan ini menandakan satu lagi pencapaian antarabangsa buat UPSI dalam memperkukuh peranan sebagai institusi yang mendokong agenda kelestarian sejagat. Ia juga mencerminkan keyakinan komuniti akademik antarabangsa terhadap sumbangan Malaysia dalam inovasi teknologi hijau dan pendidikan mampan.

