Pelancaran Program Rekaria Meta-Makerspace@UPSI
Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Khadijah International Waqaf Foundation (KIWF) telah melancarkan Program Rekaria Meta-Makerspace@UPSI, melibatkan 100 pelajar asnaf dan B40 dari 3 buah sekolah sekitar Tanjong Malim berserta guru-guru mereka.
Program ini memberi peluang kepada pelajar merasai pengalaman teknologi terkini seperti Internet of Things (IoT), robotik, pengaturcaraan, aplikasi realiti maya, dan animasi, dengan lebih 10 stesen inovasi termasuk Reka-botics, Reka-tronics, dan Reka-3D.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Datin Seri Hajah Azlin binti Hezri, Timbalan Pengerusi Kasih Malaysia. Turut hadir, Puan Hajah Rohani (Pengerusi KIWF), Profesor Ts. Dr. Suriani Binti Abu Bakar (Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPSI), dan pimpinan dari Bursa Malaysia serta pengurusan tertinggi UPSI.
Elemen Waqf untuk Pendidikan Teknologi
Program ini menggabungkan konsep wakaf dalam pendidikan dan teknologi, dengan dana wakaf digunakan untuk menyokong penyelidikan, inovasi, dan pembangunan modul pembelajaran. Perbincangan awal bersama Perpustakaan Awam Negeri Selangor mencadangkan potensi mewujudkan “Rekaria Meta-Makerspaceship”, pusat pembelajaran teknologi bergerak pertama di Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif jangka panjang, Pusat Rekaria Meta-Makerspace akan diwujudkan di kampus UPSI melalui bantuan dana kerajaan dan korporat untuk membuka peluang kepada pelajar, guru, dan komuniti dalam memupuk minat dan kemahiran dalam bidang STEM, teknologi digital, dan rekacipta inovatif. Pusat ini akan menjadi hab pembangunan teknologi yang memanfaatkan dana wakaf dan sokongan pelbagai pihak.
Ketua projek, Prof Madya Dr. Bahbibi Rahmatullah, bersama ahli pasukan Prof Madya Dr. Suzani Mohamad Samuri, Dr. Noorhidayah Che Lah, Dr. Mad Helmi, Dr. Mohd Fadhil Harfiez, Encik Mazlan Ismail, dan Encik Encik Muhammad Nadzmi bin Abdullah Sani serta pelajar-pelajar FKMT telah menjayakan program yang memberi impak besar ini. Inisiatif ini membuka ruang kolaborasi masa depan dalam penyelidikan, pendidikan inovasi, dan penglibatan komuniti yang mampan.
#RekariaMetaMakerspace #UPSI #KIWF #WaqafTeknologi #InovasiSTEM #PendidikanUntukSemua